Kedudukan kaum wanita dalam masyarakat Islam agak menyedihkan. Mereka dipersendakan pada sesetengah majlis syarahan agama, dikenakan beberapa peraturan yang ketat, atau disifatkan lebih rendah daripada kaum lelaki. Mereka menjadi mangsa keganasan lelaki, mangsa dalam perceraian, mangsa yang digantung tidak bertali, atau mangsa yang sanggup membuang bayi yang dilahirkannya dengan banyak kepayahan. Kemelut ini berpunca dari kejahilan yang terbit dari input yang tidak sempurna dalam didikan agama. Input yang dimaksudkan ialah ajaran daripada Allah yang terkandung di dalam al-Qur’an.
Blog ini bertujuan untuk menyampaikan mesej yang banyak daripada Allah mengenai kaum wanita; lantas ia menjadi agak panjang. Di sini mungkin terdapat ayat-ayat Allah yang tidak pernah didengarkan oleh orang-orang yang bertanggungjawab. Semoga dengan munculnya ajaran Islam yang sebenar, iaitu daripada al-Qur’an, maka lenyaplah amalan palsu mengenai kaum wanita yang sedang diamal oleh sebahagian besar masyarakat Islam.
Ciptaan
Perempuan yang pertama dicipta Allah ialah isteri Adam. Dia dicipta untuk menjadi pasangan bagi Adam, atas kehendak Allah sendiri, Yang mencipta semuanya berpasangan (43:12). Daripada Adam dan isterinya, lahirlah kaum lelaki dan perempuan yang berkembang biak, dan pada hari ini mereka berjumlah kira-kira 5.7 bilion kesemuanya. Mereka dicipta agar takut kepada-Nya. Firman-Nya, "Wahai manusia, takutilah Pemelihara (Tuhan) kamu Yang mencipta kamu daripada jiwa yang satu, dan daripadanya Dia menciptakan pasangannya (isterinya), dan daripada keduanya, ditaburkan di merata-rata banyak lelaki dan perempuan" (Ayat pertama, Surah ke 4, berjudul "Perempuan"; atau lazimnya ditulis seperti 4:1).
Pengasihan
Antara lelaki dan perempuan, Allah mengadakan pertalian persahabatan (9:71). Namun, yang paling manis sekali yang diadakan-Nya pada mereka ialah perasaan cinta dan pengasihan, seperti kata-Nya yang berbunyi "Dia mengadakan di antara kamu, cinta dan pengasihan" (30:21). Perasaan cinta dan pengasihan ini selanjutnya mengikat kedua-dua jantina ini dalam ikatan perkahwinan agar mereka dapat hidup bersama, dengan halal, dan bersatu dalam kebahagiaan.
Perkahwinan, yang disuruh Allah, adalah lawan bagi amalan zina. Ini disimpulkan setelah diperhati tiap-tiap ayat al-Qur'an yang mengandungi kata ikatan perkahwinan, di mana kata ini sentiasa dituruti kata lawannya, iaitu perzinaan. Sebagai contoh ialah ayat yang berbunyi "Maka kahwinilah mereka dengan izin keluarga mereka .... sebagai wanita-wanita dalam ikatan perkahwinan, bukan dalam perzinaan" (4:25).
Zina
Amalan zina adalah bukan sahaja dilarang, malah, ia dilarang daripada mendekatinya jua. Firman-Nya, "Dan janganlah mendekati zina; sesungguhnya ia satu kesumbangan, dan jalan yang jahat" (17:32). Lupakanlah sahaja keinginan untuk melakukan zina!
Amalan sumbang dan jahat ini bukan suatu fenomena yang baharu dalam masyarakat. Pengamalannya yang meluas adalah sejak dari zaman dahulu lagi, seperti pada zaman Nabi Yahya dan Mariam (ibu Nabi Isa), iaitu kira-kira dua ribu tahun dahulu. Andaian dibuat setelah mendapati Allah menyebut dengan jelas kepada bapa Nabi Yahya (Zakaria) bahawa anaknya yang bakal dilahirkan adalah seorang yang suci daripada kejahatan nafsu berahi (3:39), sementara Mariam pula, disebut sebagai seorang perempuan yang menjaga kemaluannya (21:91 dan 66:12). Mereka berdua tentu telah menjadi contoh teladan yang terbaik pada zaman itu.
Zina bukanlah amalan orang-orang lelaki dan perempuan yang mukmin (yang mempercayai Allah dan Kitab-Nya), kerana mereka diperintah supaya menjaga kemaluan mereka. Firman-Nya, "Katakanlah kepada orang-orang mukmin supaya mereka menundukkan pandangan mereka, dan menjaga kemaluan mereka" (24:30). Pandangan yang tidak dikawal dan kemaluan yang tidak dijaga adalah punca berlakunya perzinaan.
Lelaki dan perempuan yang berzina, setelah sabit kesalahan, iaitu keterangan empat saksi, dihukum dengan seratus sebatan tiap-tiap seorang (24:2). Sekirannya bilangan seratus ini dikatakan hudud (had-had) Allah, maka pada hemat saya, bilangannya adalah had maksimum. Pelaksanaannya pula, menurut ayat itu lagi, hanya disaksikan oleh segolongan orang mukmin, bukan disaksikan oleh orang ramai seperti terdapat pada amalan sesetengah masyarakat Islam di dunia.
Penuduh ke atas perempuan yang berkahwin dan tidak mendatangkan empat saksi, dikenakan lapan puluh sebatan pula, dan kesaksiannya tidak lagi diterima selama-lamanya. Cakapnya tidak dipercayai lagi. (24:4)
Hukuman ke atas penzina adalah tidak seberat hukuman yang dikenakan ke atas pencuri. Pencuri lelaki dan pencuri perempuan dihukum dengan memotong tangan-tangan mereka (5:38). Itu pun juga, pada hemat saya, adalah had maksimumnya.
0 comments:
Post a Comment