SOALAN: SAYA solat berjemaah tetapi tidak sempat menamatkan Fatihah kerana imam membacanya telalu cepat. Adakah saya dikira sebagai makmum masbuk, kerana saya tidak dapat waktu bersama imam untuk membaca dan menghabiskan Fatihah. Malah pada rakaat berikutnya, saya masih juga tidak dapat mengejar solat imam kerana apabila saya bangkit dari sujud, imam sudah mula turun rukuk kembali. Adakah saya masih dikira sebagai masbuk juga?
JAWAPAN: Anda dikira sebagai makmum masbuk bila anda tidak ada masa dan ruang (kadar biasa) untuk membaca Fatihah atau menghabiskannya. Apabila anda dikira sebagai masbuk, maka anda tidak perlu membaca Fatihah atau menghabiskannya lagi, melainkan setakat yang termampu sahaja, dan terus mendapatkan imamnya bersama dalam rukuk tersebut (dengan sempurna dan dapat tamakninah bersama imamnya) sedangkan bakinya, imamlah yang menanggung sebagai gantinya. Sebab itulah mereka yang akan dipilih sebagai imam perlu daripada kalangan mereka yang benar-benar fasih dan faham aturan solatnya serta dapat melaksanakan solatnya dengan sempurna dan sah.
Ini untuk melayakkannya sebagai imam yang dapat menanggung kekurangan makmum di belakangnya. Tetapi masa atau ruang yang ada sebelum itu jangan pula digunakan untuk melakukan bacaan sunat yang lain kecuali Fatihah sahaja. Ini kerana kalau ruang tersebut digunakan untuk bacaan sunat yang lain, maka wajiblah digantikan masa tersebut dengan membaca Fatihahnya selama mana masa yang digunakan itu, kerana kesilapannya menyalahgunakan masa dan ruang tersebut untuk tujuan yang lain. Dan bila anda dikira sebagai masbuk, maka anda dibenarkan (dimaafkan) ketinggalan di belakang imam sebanyak tiga rukun yang panjang - panjang iaitu sampai imam bangkit dari sujud yang kedua, kerana iktidal dan tasyahud awal, dikira rukun yang pendek.
Anda juga dikira sebagai masbuk sekalipun dalam rakaat yang seterusnya. Ini kalau keadaan masih sama dengan rakaat yang pertama tadi, iaitu masih tidak ada masa dan ruang untuk membaca Fatihah atau menghabiskan bacaan Fatihahnya. Kerana mereka yang ada masa dan ruang untuk menyempurnakan bacaan Fatihahnya dalam kiam imannya dia dikira bukan masbuk lagi, malah dikira makmum yang muafiq dan hukumnya adalah lain pula. Lantaran mereka perlu menghabiskan bacaan Fatihah masing-masing kerana bacaan Fatihahnya perlu disempurnakan sendiri, manakala imamnya tidak dapat menanggung bacaannya. Nabi bersabda yang bermaksud: Tidak ada solat (yang diterima lagi sah atau sempurna) tanpa ada bacaan Fatihah (dalam setiap rakaatnya) (riwayat Bukhari). Wallahualam
Thursday, 26 March 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment