Bilal bin Rabah r.a dilahirkan di Kota Mekah sekitar tahun 43 Sebelum Hijrah(ada pendapat yang mengatakan beliau dilahirkan di Habsyah atau kini disebut negara Ethopia). Bilal r.a dibesarkan di Kota Mekah sebagai seorang hamba anak-anak yatim Bani Abdul Dar yang berada di bawah jagaan Umaiyyah bin Khalaf. Setelah Rasulullah s.a.w dibangkitkan menjadi Nabi dengan membawa risalah Islam, Bilal adalah terdiri dari kalangan orang-orang yang paling awal memeluk Islam.
Pengislamannya
Ketika beliau memeluk Islam, hanya terdapat beberapa orang sahaja yang memeluk Islam di atas permukaan bumi ini iaitu: Khadijah binti Khuwailid, Abu Bakar As-Siddiq, Ali bin Abi Talib, Ammar ibn Yasir serta ibunya Sumaiyyah, Suhaib Ar-Rumi dan Miqdad Al-Aswad. Beliau menerima Islam melalui sahabatnya yang bernama al Fadl dan dilihat beliau begitu bersungguh-sungguh untuk mendalami ajaran agama Islam sehingga sanggup berulang-alik ke rumah Arqam bin Abi Al-Arqam secara rahsia supaya kegiatannya menerima Islam sebagai sebahagian daripada hidupnya tidak diketahui oleh tuannya.
Namun akhirnya Umaiyah mengetahuinya dan memujuk Bilal agar meninggalkan Islam dan kembali ke ajaran asalnya, tetapi Bilal berkeras untuk mempertahankan Islam sebagai agama dunia dan akhiratnya. Umaiyah pernah berkata,
“Aku berkuasa ke atas tubuh dan jasadmu.”
Tetapi Bilal lantas menjawab,
“Fikiranku, imanku dan kepercayaanku bukan milikmu.”
Setelah gagal memujuk Bilal, Umaiyah nekad untuk bertindak kejam ke atas Bilal dengan mengikat batu besar di tubuh Bilal yang tidak berpakaian, mengheret ke tengah padang pasir yang panas membakar dan memukul tanpa belas kasihan.
Jasa Dan Perjuangan
Beliau meninggal dunia pada tahun 23 Hijrah di negeri Syam dan dikebumikan di Damsyik. Sepanjang hayatnya beliau diakui sebagai seorang yang patuh dan rajin terhadap tanggungjawabnya, ikhlas, amanah, berani, tabah, dan sanggup menghadapi risiko demi mempertahankan kebenaran. Beliau juga pernah menyertai barisan tentera Islam dalam beberapa peperangan dan dilantik sebagai juruazan oleh Rasulullah dan kerana itulah namanya kini diabadikan kepada setiap juruazan atau bilal.
Wednesday, 8 July 2009
Risalah Sahabah - Bilal bin Rabah r.a
Risalah Tokoh - Salahuddin Al-Ayubi

Salahuddin Al-Ayubi adalah seorang pahlawan & raja yang gagah berani. Beliau masyhur dengan kewarakan dan keberanian yang luar biasa sehingga berjaya mengalahkan tentera Salib yang terkenal dengan kezaliman dan keperkasaan. Dilahirkan pada tahun 1138. Ayahnya keturunan Kurdistan. Salahuddin telah berjinak-jinak dengan peperangan apabila telah meningkat dewasa. Beliau sempat berperang di Mesir bersama dengan Shirkuh, bapa saudaranya di bawah panji Kerajaan Fatimiyyah.
Pada tahun 1169, Shirkuh telah dilantik sebagai wazir ( menteri ) di bawah naungan Kerajaan Fatimiyyah. Kemudian Salahuddin telah dilantik sebagai wazir apabila bapa saudaranya meninggal dunia. Beliau telah berjaya memadamkan pemberontakan dalam negeri dan turut berjaya menumpaskan serangan pihak Frank dan Byzantine yang cuba hendak menakluk Kaherah.
Akhirnya beliau menjadi Raja Mesir pada tahun 1175 mengantikan raja terakhir dari dinasti Fatimiyyah yang mangkat dan diiktiraf oleh Khalifah di Baghdad sebagai pemerintah Mesir yang sah setahun kemudian. Beliau memakai gelaran Sultan Al-Malikun Nasir.
Pada tahun 1187 berlaku Perang Salib antara tentera Islam yang dipimpin oleh Salahuddin Al-Ayubi dengan tentera Kristian yang diketuai oleh King Richard ( Raja England ) setelah beberapa tindakan provokasi yang dilakukan oleh pihak Kristian. Mereka bukan sahaja mengancam negara-negara Islam, malah telah merampas beberapa wilayah Islam di Baitul Muqaddis dan dijadikan negeri Kristian.
Dalam peperangan tersebut, tentera Islam telah berjaya merampas Baitul Muqaddis dan 10,000 tentara Salib terkorban. Di sini Salahuddin Al-Ayubi telah menunjukkan ketinggian budi dengan tidak membalas perbuatan tentera Salib yang zalim semasa menawan Baitul Muqaddis dan negeri-negeri yang dilalui mereka. Beliau telah memberi perlindungan kepada semua tawanan perang, perempuan, orang tua dan anak-anak tentera Salib dan memberi mereka tempoh 40 hari untuk meninggalkan Baitul Muqaddis. Akhirnya seluruh tanah Palestin dapat ditawan semula. Walau bagaimanapun, orang-orang Kristian dibenarkan mengunjungi Baitul Muqaddis melalui satu perjanjian damai yang ditandatangani pada 1192.
Friday, 3 July 2009
Risalah Tarbiah - TANAH ARAB YANG TANDUS MENJADI LEMBAH YANG SUBUR
Ertinya:
Daripada Abu Hurairah r.a. berkata: Bersabda Rasulullah saw.; "Tidak akan terjadi qiamat sehinggalah Tanah Arab (yang tandus itu) menjadi lembah yang subur dan dialiri sungai-sungai".
H.R.Muslim
Keterangan
Sekarang kita telab mula menyaksikan kebenaran sabdaan junjungan kita ini. Kita banyak melihat tanah Arab yang dahulunya tandus dan kering kontang tetapi sekarang telah mulai menghijau dan ditumbuhi rumput-rumput dan pohon-pohon kayu. Contohnya, Padang Arafah yang ada di Makkah al-Mukarramah yang dahulunya hanya dikenali sebagai padang yang tandus dan tidak ada pohon kayu. Sekarang ini Padang Arafah dipenuhi pohon-pohon kayu, sehingga kelihatan menghijau dan kita dapat berteduh di bawah naungannya.
Keadaan ini walaupun menyejukkan mata memandang namun ia mengurangkan gambaran suasana padang Mahsyar, tempat berhimpunnya seluruh makhluk pada hari qiamat nanti yang merupakan tujuan utama dan pelajaran penting yang diambil dari suasana wuquf jamaah Haji di Padang Arafah pada setiap 9 Zulhijjah tahun Hijriyah.
LAHIRNYA IMAM MAHADI

Ertinya:
Daripada Abdullah bin Mas'ud r.a. berkata: Rasulullah saw. bersabda: "Dunia tidak akan hilang (qiamat) sehinggalah bangsa Arab akan dikuasai oleh seorang lelaki daripada keluarga ku (keturunan ku) yang namanya sama dengan namaku".
H.R Termizi
Keterangan
Hadis ini menerangkan kepada kita bahawasanya dunia ini tidak akan qiamat sehinggalah bangsa Arab dan juga bangsa Ajam dikuasai oleh seorang lelaki keturunan Rasulullah saw., iaitu Imam Mahdi. Ia akan melaksanakan keadilan di permukaan bumi ini dan akan diikuti oleh seluruh kaum muslimin. Ia akan memerintah selama tujuh tahun. Kemudian keluarlah Dajal dan turun pula Nabi Isa 'alaihis salam, dan Nabi Isalah yang akan membunuh Dajjal itu.
Menurut kebanyakan ulama, Imam Mahdi akan lahir disaat umat Islam berpecah-belah dan dimasa pemerintahannya semua umat Islam akan bersatu dan berjaya menundukkan seluruh bangsa yang ada di dunia ini dbawah kekuasaan Islam.
Thursday, 2 July 2009
KISAH SEORANG KRISTIAN MASUK ISLAM BERKAT MEMULIAKAN ASYURA'

Alkisah disebutkan bahawa di kota Array terdapat Qadhi yang kaya-raya. Suatu hari kebetulan hari Asyura' datanglah seorang miskin meminta sedekah. Berkatalah si miskin tadi, "Wahai tuan Qadhi, adalah saya seorang miskin yang mempunyai tanggungan keluarga. Demi kehormatan dan kemuliaan hari ini, saya meminta pertolongan daripada tuan, maka berilah saya sedekah sekadarnya berupa sepuluh keping roti, lima potong daging dan duit dua dirham."
Qadhi menjawab, "Datanglah selepas waktu zohor!"
Selepas sembahyang zohor orang miskin itu pun datang demi memenuhi janjinya. Sayangnya si Qadhi kaya itu tidak menepati janjinya dan menyuruh si miskin datang lagi selepas sembahyang Asar. Apabila dia datang selepas waktu yang dijanjikan untuk kali keduanya itu, ternyata si Qadhi tidak memberikan apa-apa. Maka beredarlah simiskin dari rumah si Qadhi dengan penuh kecewa.
Di waktu si miskin jalan mencari-cari, ia melintas di depan seorang kristian sedang duduk-duduk di hadapan rumahnya. Kepada orang Kristian itu si miskin minta sedekah, "Tuan, demi keagungan dan kebesaran hari ini berilah saya sedekah untuk menyara keluarga saya."
Si Kristian bertanya, "Hari apakah hari ini?"
"Hari ini hari Asyura", kata si miskin, sambil menerangkan keutamaan dan kisah-kisah hari Asyura'. Rupanya orang Kristian itu sangat tertarik mendengar cerita si peminta sedekah dan hatinya berkenan untuk memberi sedekah.
Berkata si Kristian, "Katakan apa hajatmu padaku!"
Berkata si peminta sedekah, "Saya memerlukan sepuluh keping roti, lima ketul daging dan wang dua dirham sahaja."
Dengan segera ia memberi si peminta sedekah semua keperluan yang dimintanya. Si peminta sedekah pun balik dengan gembira kepada keluarganya. Adapun Qadhi yang kedekut telah bermimpi di dalam tidurnya.
"Angkat kepalamu!" kata suara dalam mimpinya. Sebaik sahaja ia mengangkat kepala, tiba-tiba tersergam di hadapan matanya dua buah bangunan yang cantik. Sebuah bangunan diperbuat dari batu-bata bersalut emas dan sebuah lagi diperbuat daripada yaqut yang berkilau-kilauan warnanya. Ia bertanya, "Ya Tuhan, untuk siapa bangunan yang sangat cantik ini?"
Terdengar jawapan, "Semua bangunan ini adalah untuk kamu andaikan sahaja kamu mahu memenuhi hajat si peminta sedekah itu. Kini bangunan itu dimiliki oleh seorang Kristian."
Apabila Qadhi bangun dari tidurnya, iapun pergi kepada Kristian yang dimaksudkan dalam mimpinya.
Qadhi bertanya kepada si Kristian, "Amal apakah gerangan yang kau buat semalam hingga kau dapat pahala dua buah bangunan yang sangat cantik?"
Orang Kristian itu pun menceritakan tentang amal yang diperbuatnya bahawa ia telah bersedekah kepada fakir miskin yang memerlukannya pada hari Asyura' itu.
Kata Qadhi, "Juallah amal itu kepadaku dengan harga seratus ribu dirham."
Kata si Kristian, "Ketahuilah wahai Qadhi, sesungguhnya amal baik yang diterima oleh Allah tidak dapat diperjual-belikan sekalipun dengan harga bumi serta seisinya."
Kata Qadhi, "Mengapa anda begitu kedekut, sedangkan anda bukan seorang Islam?"
Ketika itu juga orang Kristian itu membuang tanda salibnya dan mengucapkan dua kalimah syahadat serta mengakui kebenaran agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad S.A.W.